Sunday 4 March 2012

Sejarah Penubuhan SRATAAP


Penubuhan Sekolah Agama Tengku Amalin A’Ishah Putri yang dulunya dikenali dengan Sekolah Agama Bersepadu Rakyat yang diilhamkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Kelantan dan Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Kelantan yang berteraskan konsep pendidikan bersepadu berorientasikan 4 disiplin iaitu Agama Akademik, Tahfiz Al-Quran dan Teknologi. Berasaskan dua tahap pengajian iaitu Rendah dan Menengah serta menerima pakai sepenuhnya kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sekolah ini dibina di Lot 1941 Kg. Chempaka Panji, Kota Bharu iaitu tanah wakaf Am Sultan Mansor. Tanah tersebut terletak di bawah kelolaan MAIK (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan). Perletakan Batu Asas sekolah tersebut telah disempurnakan oleh KDYMM Al Sultan Kelantan pada 3hb November 1997 dengan penuh istiadat gilang gemilang. Matlamat dan objektifnya ialah untuk melahirkan puteri-puteri Islam yang bertaqwa, berketerampilan inovatif dan kreatif serta dapat berperanan kepada agama, masyarakat dan negara.

Pembinaan sekolah ini bermula pada 24hb. September 1998 dengan mengambil masa 14 bulan untuk siap sepenuhnya pada 25hb November 1998. Pembinaan sekolah ini menelan belanja sebanyak RM 3.2 juta iaitu sumbangan dari Kementerian Pendidikan Malaysia sebanyak RM 2 juta manakala selebihnya RM 1.2 juta oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Sekolah Agama Tengku Amalin A’Ishah Putri mula beroperasi pada 1hb Februari 2000 dengan 40 orang pelajar iaitu tingkatan satu dan tahun satu. Tenaga pengajarnya terdiri dari 14 orang lepasan ijazah dalam dan luar negeri. Guru-guru tersebut dilatih oleh BAKAGRUV di bawah kelolaan Prof. Datuk Dr. Azman Wan Chek yang juga Pentadbir Sekolah dengan dibantu oleh seorang Pegawai Eksekutif iaitu En. Zainuddin Ishak.

Tahun 2001 perubahan Pentadbir Sekolah iaitu Hjh Haziah Abd Rahman mengambil alih pentadbiran dengan dibantu oleh Pegawai Eksekutifnya En. Mohd. Zaki Ibrahim. Pada tahun 2002, Sekolah Agama Tengku Amalin A’Ishah Putri ditukar statusnya dari sekolah rakyat kepada naungan sepenuhnya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Pengurusan sekolah diteruskan dengan pelantikan Jemaah Pengelola seramai 11 orang yang telah mendapat ampuni perkenan Tuanku Berdua. Jemaah Pengelola terdiri daripada golongan professional dalam bidang pendidikan bagi melaksanakan tugasan mentadbir Sekolah Agama Tengku Amalin A’ishah Putri. Tahun 2002 seramai 10 anak sulung sekolah ini mengambil peperiksaan PMR yang pertama dan alhamdulillah  mereka mendapat kejayaan 100%.

Sekolah Agama Tengku Amalin A’Ishah Putri terus mengorak langkah untuk bersaing dengan sekolah harian biasa. Tahun demi tahun keputusan peperiksaan awam meningkat sehingalah tahun 2005 anak sulung UPSR mendapat keputusan yang cemerlang (5A) iaitu Nur Fatin Abd. Rahman.

Tahun 2006 adalah tahun duka bagi warga SATAAP bilamana UMMI iaitu Pengetuanya kembali ke Rahmatullah. SATAAP kehilangan seorang pendidik sepanjang hayat. Seorang pendidik yang tak kenal erti jemu dan lelah. SATAAP diganti dengan Pengetua baru yang lebih muda dan bertenaga iaitu Hjh Senaini Long pada 1hb Januari 2007.

Tanggal 2006 sekali lagi SATAAP melakar sejarah bilamana ianya diserahkan kepada kelolaan Kerajaan Pusat iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia. Peruntukkan sebanyak RM500 000 telah disalurkan untuk pembangunan sekolah. Setelah itu,  SATAAP dibahagikan kepada dua iaitu Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin A’Ishah Putri dan Sekolah Rendah Agama Tengku Amalin A’Ishah Putri. SRATAAP telah mendapat peruntukkan sebanyak RM 4 juta untuk membina 2 blok bangunan 4 tingkat yang mana pembinaannya siap pada penghujung 2007. Sebelum ini SRATAAP hanya menumpang dibangunan SMATAAP dan ditadbir oleh pengurusan yang sama.

Tetapi SRATAAP kini telah mendapat Guru Besar sendiri iaitu Puan Hashimah bt Ibrahim pada 1hb November 2007. Pada 15hb Januari 2008 dengan secara rasminya berpindah ke bangunan barunya. Kini SRATAAP telah mampu berdikari walaupun sebelum ini bergantung dengan pentadbiran SMATAAP sepenuhnya. Moga SRATAAP semerlang menjelang 2010 ini, insyaallah....

No comments:

Post a Comment